Selasa, 15 Mei 2012

Sembilan Untukku, dan satu untukmu.


Wahai dikau pemilik persona yang mendamaikan,
Maafkan aku kiranya nukilan ini membuatmu jauh hati padaku
Aku tahu kamar hatimu terbuncang tulus kasih yang tak berbelah bahagi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Aku tahu raudhahmu sarat kuntuman cinta yang harum mewangi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.

Padamu selalu aku bisikan, dalam senda beralas, dalam gurau berbalas.
Bukan aku tak bersedia menerimamu sepenuhnya,
Bukan aku tak bersungguh denganmu seadanya.
Tapi itulah kata syariat, itu jugalah kata adat.
Langkah harus beringat, berkasih biar bertempat
Bagiku telah difitrahkan sembilan akal bak pahlawan,
Dan satu nafsu yang tidak terlawan,
Bagimu sembilan nafsu yang mudah ditawan,
Dan satu akal yang berpangkat bawahan
Bukan ini diskriminasi ilahi
Tapi itulah anugerah yang sangat berseni
Terciptanya kamu dari serpihan penuh rahsia
Yang mohon dituntun penuh waspada
Barang kau ingat wahai puteri
Sembilan akalku nakal tidak terperi
Satu nafsuku itulah raja, akalku pula setia bekerjasama
Sembilan akalku sedia berpadu,
demi memenuhi nafsu yang satu

Kutahu juga sembilan nafsumu bertakhta
Satu akalmu sering kecundang kehilangan kuasa
Itulah sebab benteng kubina, kerana sayangku padamu tidak terhingga
Aku tidak mahu kasarnya sentuhan,
mencalarkan kacamu yang kerapuhan,
Kubimbang jika aku bukanlah jodohmu,
kelak kau tersisa tidak bermutu
Kupohon kau jagalah peribadimu,
jangan terlalu mudah memberi sebelumnya waktu
Biar sombong dikata duniawi, asalkan jadi cemburuan bidadari syurgawi
Bukan aku tidak kasih padamu, bukan juga aku tak kisah padamu
Tapi biarkan itu berlaku seiring waktu
Sebagai bingkisan jodoh yang datang bertamu.
Aku bukanlah Ustaz Wan Aqasha, dan kau juga bukan Ustazah Siti Norba'yah
Tapi kuharap cinta kita semanis kurma, dan mahligai terbina penuh ceria
Kuharap dikau bukan pilihan yang salah,
Sebelum jodoh datang menjengah
Bersamalah menimba ilmu yang payah,
Agar saat istana bergoyah,
Bahtera kita masih berarah.
Ketika restu dan izin-Nya mencurah,
Akan kupinangmu dengan Bismillah.
Reaksi:
This entry was posted in

0 komentar: